kesenian kebudayaan jaran kepang
 

kesenian kebudayaan jaran kepang



 SEJARAH PERMAINAN KUDA KEPANG


Permainan kuda kepang merupakan salah satu permainan rakyat di negara ini. Jika di negeri Pantai Timur Semenanjung terkenal dengan permainan wau dan wayang kulit, kuda kepang pula mendapat tempat di hati rakyat Johor. Kehalusan seninya begitu terpelihara walaupun arus kemodenan begitu ketara dalam beberapa aspek kebudayaan.

Salah seorang pencinta permainan ini di kg sungai mas ialah En.Rabu bin paiman atau lebih mesra dipanggil "Wak Rabu". Permainan kuda kepang disebarkan kepada rakan-rakan serta orang-orang kampung dan hingga kini di Kampung sungai mas sudah mempunyai sebuah persatuan "Kesenian Kedudayaan Jaran Kepang Suria Mas". Menceritakan sejarah awal, beliau yang kini berusia 55 tahun menyatakan kuda kepang berasal dari Tanah Jawa Indonesia dan telah dibawa ke Tanah Melayu oleh rakyat Indonesia yang berhijrah ke negara ini. Pada mulanya ia hanya permainan biasa seperti "Sepak Raga". Namun sambutan dari penduduk tempatan menyebabkan ia berkembang dari sebuah kampung ke sebuah kampung.


Pada zaman sekarang, permainan kuda kepang dimainkan di majlis perkahwinan atau sesuatu majlis keramaian. Pemain kuda kepang memerlukan sekurang-kurangnya 25 orang dimana 9 orang menari, 5 orang pemain muzik, 15 orang penjaga kawasan dan dua orang bertindak sebagai "Bomoh Pemulih". Bagaimanapun dalam sesuatu persatuan jumlah ahlinya adalah seramai 40 orang. Seorang daripada penari-penari itu bertindak sebagai pemimpin yang dipanggil "Danyang". Pakaian permainan pula biasanya seragam.


PERALATAN KUDA KEPANG

Peralatan yang diperlukan untuk permainan kuda kepang ialah alat muzik yang terdiri daripada 5 buah Angklung. Angklung diperbuat daripada buluh dan rotan yang boleh didapati daripada kawasan persekitaran. Angklung bersaiz segiempat dan ianya dimainkan dengan cara menggoyang dan menggoncang buluh tersebut. Bagi buluh yang kecil, apabila diketuk akan mengeluarkan bunyi nyaring, manakala buluh yang besar akan mengeluarkan bunyi bergema dan dari kombinasi kedua-dua bunyi ini akan menghasilkan bunyi yang indah dan menarik.

Perkakas lain yang digunakan ialah sebuah gendang. Gendang ini diperbuat daripada kayu Leban dan kulitnya dari kulit lembu. Kulit lembu diperoleh dari saki baki kulit lembu yang dikorbankan semasa Hari Raya Haji. Kulit lembu ini dikeringkan. Sementara pengikatnya diperbuat daripada rotan. Gendang mempunyai panjang diameter lebih kurang 3 kaki. Gendang ini dipalu mengikut irama yang tertentu.

Perkakas lain yang digunakan ialah pecut. Pecut diperbuat daripada buluh dan tali. Kedua-duanya dipintal menjadi satu. Fungsi Pecut adalah untuk mengarah dan mengawal permainan atau penari kuda kepang.

Perkakas terpenting ialah kuda-kuda. Ianya diperbuat daripada kulit lembu. Dibentuk menyerupai kuda dan diwarnakan merah,putih atau kelabu.

Selain itu perkakas lain ialah tali sepanjang 30 meter. Tali sepanjang ini digunakan untuk dibuat pagar bagi mengelak penari kuda kepang yang mabuk berkeliaran dan mudah untuk bomoh mengawalnya. Alat-alat lain ialah gong. Gong apabila dipalu akan mengeluarkan bunyi "goooong" dan meyedapkan lagi bunyi muzik pengiring.


PANTANG LARANG KETIKA PERMAINAN

Pantang larang dalam permainan kuda kepang ialah pemain tidak boleh diacah semasa dalam permainan atau ketika sedang mabuk kerana ditakuti akan melarat dan menjadikan keadaan tidak terkawal.

Namun pantang larang yang utama ialah tidak boleh melihat kain berwarna merah kerana ia adalah pantang larang semulajadi. Selain itu tidak boleh terlihat atau melihat kaca atau serpihannya kerana ditakuti akan dimakan oleh pemain.

Apabila muzik mula bergema, masuklah pemain-pemain yang dipimpin oleh "danyang" memasuki gelanggang. Pemain-pemain akan menari menurut rentak dan irama lagu. Tiap-tiap penari akan menunggang atau memacu kuda anyaman(kuda kepang). Tarian yang kerap dipersembahkan dalam sesuatu majlis tarian kuda kepang ialah Tarian Solo, Tarian Selendang, Tarian Pucuk Rebung dan Tarian Kuda Kepang dinamakan "Lenggang Kiprah". Penari-penari menari sehingga mabuk atau tidak sedarkan diri selama 2 jam. Keadaan ini disebut sebagai "naik syeh".Mereka boleh melakukan perbuatan atau gerakan yang aneh dan luar biasa seperti bersilat melompat-lompat setinggi 6 kaki dan sebagainya. Kadang-kadang pihak penganjur akan merentang kain licik untuk pemain menitinya.

Semasa penari dalam keadaan demikian, bunyi-bunyian yang mengiringi tarian ini akan bertambah rancak. Kononnya jika alunan muzik tidak rancak maka penari akan naik berang dan akan menerkam atau menendang pemain muzik. Kelakuan ini tidak ubah seperti kuda yang sedang berang. Jika keadaan bertambah liar, Tok Bomoh akan mengarahkan pengawal menangkap dan merebahkan mereka ke tanah, seterusnya dijampi. Penari-penari itu akan dipulihkan semula oleh Tok Bomoh dan kembali normal seperti biasa.

Menurut keterangan pemain yang mengalami kejadian seperti ini,ketika mabuk mereka bermimpi menunggang kuda sambil menari-nari dengan iringan muzik. Semakin lama bunyian itu sayup kedengaran. Kerana itulah mereka cuba mengejar muzik itu. Jelaslah tarian Kuda Kepang mempunyai semangat yang menjadi asas kepercayaan dan peminat mereka. Selain itu alat-lat kuda kepang mesti disimpan dengan baik kerana ditakuti akan dimarahi oleh 'rohnya'. Ini menunjukkan bahawa permainan kuda kepang mempunyai kepercayaan tersendiri.

Sepertimana cara perubatan tradisional, permainan kuda kepang juga tidak ketinggalan menyelitkan pengerasnya yang diserahkan kepada Tok Bomoh persembahan. Pengeras yang dimaksudkan ialah beberapa butir kemenyan, tempat bara untuk membakar kemenyan, air mentah secerek, nasi campur (nasi yang sudah bercampur lauk ayam dan sayur), kuih campur, serta yang utama sekali ialah wang sebanyak RM2.25 yang diserahkan oleh tuan rumah atau penganjur kepada Tok Bomoh persembahan. Bayaran untuk setiap persembahan atau pertunjukan kuda kepang adalah tidak kurang dari RM200.



Links
 Free Websites By All4Webs